TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS MELIHAT ANAK BULAN RAMADHAN DAN PELANCARAN MAJLIS MELIHAT ANAK BULAN RASMI KERAJAAN MALAYSIA BAGI TAHUN 1433H/2012M, PADA 19 JULAI 2012

DI BALAI CERAP AL-BIRUNI NEGERI SABAH, TANJUNG DUMPIL PUTATAN.

 

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita sekali lagi dapat bersama-sama  sempena Majlis Melihat Anak Bulan Ramadan bagi tahun 1433H/2012M. Saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Mufti Negeri Sabah atas jemputan ini dan bersyukur kerana sekali lagi kita diberikan peluang dan kesempatan oleh Allah SWT untuk berada di Balai Cerap Al-Biruni Negeri Sabah dalam majlis tahunan ini.

 

Sesungguhnya program ini amat penting dan mempunyai makna yang besar kepada umat Islam di seluruh dunia termasuklah kita di Malaysia. Di samping membolehkan kita untuk menentukan dengan tepat kedatangan awal Ramadan, Syawal dan Zulhijah bagi menetapkan tarikh  Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, ia juga jelas membuktikan simbol kejayaan umat Islam dalam penerokaan ilmu astronomi atau dikenali sebagai ilmu falak dalam dunia Islam.

 

Sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 189, yang bermaksud :

 

"Mereka bertanya kepada mu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah : (peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia dan ibadat haji.."

 

Oleh itu, amat penting untuk umat Islam terutama generasi muda sebagai modal insan yang meneruskan kesinambungan tamadun dan kejayaan umat Islam, bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan menguasai teknologi berkaitan bidang astronomi ini. Kejayaan dan kegemilangan umat Islam terdahulu perlulah dijadikan teladan dan inspirasi untuk kita menjadi umat yang cemerlang, maju dan berilmu pengetahuan seperti mana zaman kegemilangan umat Islam terdahulu.

 

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak ini, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT. Sama-sama juga kita membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik dengan memperbanyakkan program amal jariah dan sedekah. Semoga bulan mulia yang penuh keberkatan ini akan mencetus semangat dan kekuatan kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh kerajaan dan rakyat dengan ikhlas, lebih komited dan bersungguh-sungguh, sebagaimana yang dituntut oleh agama kita.

 

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Melihat Anak Bulan dan semua pihak yang menjayakan majlis ini. Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadan.

 

Dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim', saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis Melihat Anak Bulan Rasmi Kerajaan Malaysia bagi 1433 Hijriah bersamaan 2012 Masihi.

 

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.