TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA BIN HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM MESEJ DARI PENJARA PERINGKAT NEGERI SABAH, PADA 10 JULAI 2012

DI EASTERN PLAZA, TAWAU, SABAH.

 

 

Syabas dan tahniah kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana telah berjaya membawa wadah baru menerusi transformasi pemulihan dalam hukuman. Saya difahamkan bahawa jabatan ini telah menyasarkan untuk memastikan lebih ramai penghuni menjalani hukuman dan pemulihan di luar tembok penjara tercapai dan kadar residivis atau kes berulang akan dapat dikurangkan ke tahap yang minima. Usaha murni ini sewajarnya diberikan pujian dan sokongan kerana ia tidak hanya dilihat sebagai kaedah hukuman semata-mata, tetapi juga difokuskan kepada program pendidikan dan pemulihan sahsiah diri.

 

Selain memberi pendedahan kepada masyarakat termasuk generasi muda tentang keburukan dan kesan negatif jenayah, program ini juga dilihat sebagai satu langkah proaktif Jabatan Penjara bagi mencegah masyarakat dari melakukan jenayah. Saya percaya program ini berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab sosial mereka untuk sama-sama menyokong usaha pemulihan penghuni dan bersama-sama membanteras jenayah.

 

Sememangnya usaha-usaha seperti ini bukanlah perkara yang mudah. Pelbagai halangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi. Bagaimanapun, suka saya tekankan bahawa tugas dan tanggungjawab tersebut tidak hanya terletak di bahu pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya ia juga adalah tanggungjawab sosial yang perlu kita pikul secara bersama.

 

Sehubungan itu, saya menyeru agar syarikat-syarikat swasta atau sektor korporat untuk turut bersama berkongsi tanggungjawab sosial bagi membantu dan menyokong Jabatan Penjara Malaysia dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi merealisasikan matlamat kerajaan untuk mewujudkan “Masyarakat, Bandar dan Negara yang Selamat”.

 

Dalam konteks kerajaan negeri, kita akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada Jabatan Penjara Malaysia dalam menjayakan program dan usaha-usahanya seiring dengan program-program transformasi kerajaan serta visi dan misi jabatan ini.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan ucapan penghargaan dan memuji komitmen Jabatan Penjara Malaysia dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga semangat kerjasama dan komitmen yang tinggi ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang demi kepentingan masyarakat dan negara pada keseluruhannya. Sekian.