TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PESTA RUMBIA KUALA PENYU KALI KE-23 TAHUN 2012, PADA 8 JULAI 2012

DI DEWAN DATO' SHAHBANDAR MAKANG, KUALA PENYU.

 

 

Sememangnya pesta ini bukan sahaja bersinonim dengan Daerah Kuala Penyu disebabkan terdapatnya banyak pokok rumbia yang tumbuh di kawasan ini. Malah, saya difahamkan, ia juga mempunyai lagenda yang tersendiri bagi masyarakat Dusun Tatana kerana menjadi penyelamat kepada masyarakat di daerah ini semasa ketiadaan beras akibat kemarau yang panjang satu ketika dahulu.

 

Saya memuji kesungguhan pihak penganjur dan seluruh warga Kuala Penyu dalam menjayakan pesta yang sungguh meriah ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan sentiasa memberikan komitmen dan sokongan terhadap semua usaha mengenalpasti dan mengetengahkan potensi dan keunikan yang terdapat di daerah masing-masing.

 

Ini terbukti apabila kita telah memasukkan pesta ini ke dalam kalendar pelancongan tahunan Negeri Sabah bagi mewarnai kepelbagaian perayaan di sini. Saya yakin dan percaya ia mampu menjadi penyumbang kepada kemajuan sektor pelancongan khususnya di negeri Sabah.

 

Pada kesempatan ini, saya juga menyarankan kepada para pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) untuk mempelbagaikan produk berasaskan rumbia agar berjaya menembusi pasaran antarabangsa, sekaligus meningkatkan sosio ekonomi diri dan menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri.

 

TemaPesta Rumbia Pemangkin Pembangunan Dan Pelanconganpada tahun ini amat bertepatan dengan masanya. Dengan terbinanya jambatan Sungai Sitompok yang bernilai RM60 juta, tentunya ia akan memberi impak besar kepada kehidupan masyarakat di Daerah Kuala Penyu, terutamanya dari segi kemajuan ekonomi dan pelancongan. Inilah nikmat kestabilan politik hasil sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakyat yang membolehkan kerajaan melaksanakan banyak agenda pembangunan termasuk di kawasan luar bandar.

 

Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat di negeri ini agar terus memberikan kepercayaan dan sokongan padu kepada kerajaan yang terbukti mampu membawa pembangunan, kemajuan dan membela nasib rakyat khususnya di Sabah.

 

Akhir kata, saya berharap kita dapat bersama-sama mengekalkan kestabilan dan keharmonian yang telah kita kecapi ini agar segala agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan dan konsisten, sekaligus mewujudkan pembangunan yang mapan dan seimbang untuk faedah kita bersama dan generasi yang akan datang.

 

Sekian.