TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PERASMIAN MAJLIS HARI GURU PERINGKAT NEGERI JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SABAH TAHUN 1433H/ 2012M, PADA 3 JULAI 2012, DI DEWAN SAADAH WISMA MUIS, KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama sempena Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Peringkat Negeri 2012.

 

Syabas dan tahniah diucapkan khususnya kepada JHEAINS di atas inisiatif penganjuran sambutan ini. Sesungguhnya ia jelas membuktikan penghormatan dan pengiktirafan kerajaan negeri kepada semua guru JHEAINS yang telah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar untuk melahirkan modal insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para guru sekalian yang sentiasa komited dalam menunaikan amanah dan menggalas tanggungjawab ini. Terima kasih Cikgu.

 

Sesungguhnya, sebagai seorang pendidik, tuan-tuan dan puan-puan memikul tanggungjawab besar yang semakin mencabar di dalam mengasuh dan mendidik serta melengkapkan diri para pelajar dalam semua bidang ilmu. Situasi ini memberi isyarat jelas bahawa guru pada masa kini bukan sahaja berperanan mendidik pelajar dari segi teori tetapi juga dari segi praktikal.

 

Justeru, para pelajar perlu dibimbing dan diasuh berlandaskan matlamat  pembangunan negara. Pada masa yang sama, ia juga perlu diselarikan dengan kemajuan kerohanian. Ini bererti penghayatan nilai-nilai murni wajar diterapkan dalam membangunkan modal insan yang berkualiti dan sempurna.

 

Tanggungjawab guru bukan sahaja terhad kepada penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi turut menekankan aspek nilai, moral, etika serta jati diri yang mampu menjana modal insan secara menyeluruh.  Atas faktor ini, guru-guru perlu meningkatkan tahap keilmuan di samping memperbaiki pencapaian akademik seterusnya melaksanakan agenda penting negara iaitu membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia.

 

Sehubungan itu, saya menggesa kepada para guru untuk bersikap lebih proaktif dan efisien sekaligus melengkapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran.  Ini kerana hanya guru versatil dan berilmu sahajalah yang akan dapat menghasilkan generasi pelajar berkualiti dan cemerlang, seterusnya memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.

 

Pada masa yang sama, guru juga perlu mempelbagaikan kaedah dan kreativiti di bilik darjah bagi melahirkan para pelajar yang berpendidikan, berkemahiran, berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia sekaligus meningkatkan lagi mutu pendidikan khususnya dalam bidang keagamaan.

 

Suka saya menekankan di sini bahawa ibu bapa dan guru-guru perlu bersama-sama memikul tanggungjawab ini dengan mendidik dan membentuk sahsiah dan keperibadian yang mulia dalam kalangan anak-anak kita. Ini penting kerana institusi kekeluargaan merupakan jalan terbaik dan berkesan bagi membantu kejayaan para pelajar sekaligus mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak bermanfaat.

 

Akhir kata, saya berharap agar sambutan Hari Guru ini berupaya mencetus semangat dan keazaman guru-guru agama di negeri ini dalam mendidik dan melahirkan pelajar cemerlang di dunia dan di akhirat. Kepada para guru JHEAINS di seluruh Sabah, semoga amanah dan tanggungjawab yang dilaksanakan dengan penuh komitmen dan dedikasi ini, mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT seterusnya memperkasa dan memartabatkan lagi profesion yang mulia ini.

 

Sekian.