TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PROGRAM “YOUNG MEET YOUNG 2012”, PADA 28 JUN 2012, DI AUDITORIUM YTL, BANGUNAN YAYASAN UMS UNIVERSITI MALAYSIA SABAH, KOTA KINABALU.

 

 

Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan untuk saya merasmikan program ini. Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah atas daya usaha dan inisiatif menggerakkan Program “Young Meet Young (YMM) 2012” di Sabah ini.

 

Saya menyambut baik penganjuran Program “Young Meet Young 2012” kerana ia amat bertepatan dengan usaha-usaha kerajaan dalam memacu ekonomi seiring dengan Hala tuju Pembangunan Negeri dan di peringkat nasional pula, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri. Saya difahamkan bahawa sebilangan besar usahawan yang hadir pada program ini merupakan usahawan muda yang telah berjaya di dalam perniagaan masing-masing.

 

Justeru saya berharap agar lebih ramai usahawan khususnya dari kalangan para graduan akan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan untuk meningkatkan lagi taraf sosioekonomi dan menyumbang kepada kemajuan dan kemapanan ekonomi negeri.

 

Di peringkat negeri juga, kerajaan sentiasa berusaha untuk mewujudkan persekitaran ekonomi dan perniagaan yang kondusif termasuklah dalam bidang keusahawanan. Dalam masa yang sama banyak jabatan dan agensi negeri turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah premis, khidmat nasihat dan bimbingan selain bantuan kewangan dan pinjaman kepada para usahawan.

 

Sememangnya cabaran dan rintangan adalah lumrah dalam dunia keusahawanan. Bagaimanapun, saya percaya dengan adanya penglibatan para usahawan yang telah berjaya, ia boleh membantu mereka yang baru berkecimpung terutamanya dalam konteks berkongsi pengalaman semasa memulakan perniagaan sehinggalah bergelar usahawan berjaya.

 

Selain itu, usahawan-usahawan yang telah berjaya ini juga boleh berkongsi maklumat serta idea dengan usahawan baru tentang pelbagai pendekatan untuk memantapkan lagi bidang perniagaan masing-masing.

 

Di samping itu, dalam menghadapi dunia perniagaan dan keusahawanan yang semakin kompetitif, amat penting untuk para usahawan mengaplikasikan pendekatan yang lebih moden, dinamik dan efisien bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti serta menambah baik produk dengan penggunaan teknologi terkini.

 

Usaha ini boleh dicapai dengan memanfaatkan pelbagai hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam kalangan penyelidik di institusi pengajian tinggi awam, swasta dan agensi kerajaan seperti UiTM, UMS, SIRIM, MARDI dan lain-lain.

 

Akhir kata, saya berharap saudara dan saudari sekalian dapat memanfaatkan sepenuhnya program dan peluang ini sebagai platform untuk mengorak langkah menjadi usahawan yang berjaya. Saya percaya dengan adanya semangat ingin berjaya, perancangan yang berkesan dan kegigihan yang tinggi,  matlamat dan wawasan saudara dan saudari untuk berjaya dalam bidang keusahawanan akan tercapai, Insya Allah.

 

Sekian.