TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN
KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA PROGRAM PEMIMPIN BERSAMA
RAKYAT DAN MAJLIS PECAH TANAH KOLEJ KDM
PADA 17 JUN 2012,
Terlebih dahulu marilah kita
mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan
rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Pecah Tanah Kolej Kadazan
Dusun Murut (KDM)
Pada kesempatan ini juga,
saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat
Berhormat Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri
Malaysia yang kita kasihi atas kesudian beliau untuk turun padang dan
meluangkan masa untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat di kawasan ini
seterusnya melancarkan Majlis Pecah Tanah Kolej KDM Sabah.
Syabas dan tahniah kepada
masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut atas penubuhan Kolej KDM Tambunan Sabah.
Inilah bukti jelas yang menterjemahkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan
pembangunan yang seimbang di seluruh negeri, sekaligus membuktikan keprihatinan
kita terhadap kepentingan semua kaum sesuai dengan semangat ‘1Malaysia Rakyat
didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
Pemilihan Tambunan sebagai
sebuah hub pendidikan bagi kaum Kadazan, Dusun dan Murut adalah kerana kerajaan
sedar dan peka ke atas kepentingan ilmu pengetahuan kepada rakyat dalam usaha
kerajaan untuk menjayakan agenda tranformasi negara. Sudah tentu dengan
pewujudan institusi ilmu seperti kolej KDM ini, ia akan menyediakan peluang
kepada anak-anak kita khasnya di kawasan pedalaman untuk mendapatkan
pengetahuan, latihan dan kemahiran.
Saya percaya bahawa untuk
memacu kemajuan negeri seiring dengan arus perdana pembangunan nasional, kita
memerlukan ramai tenaga profesional dan modal insan yang berkualiti, berilmu
serta berkemahiran hasil daripada proses pendidikan yang terbaik.
Justeru, Kerajaan Negeri
sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan tumpuan dan
perhatian khusus kepada usaha-usaha pembangunan bagi memacu lebih banyak
kemajuan pendidikan di negeri ini sekaligus merapatkan jurang pendidikan antara
kawasan bandar dan luar bandar. Kita juga akan terus melipatgandakan usaha bagi
memastikan masyarakat luar bandar, mendapat pembelaan sewajarnya dan tidak
ketinggalan dalam menikmati arus kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Barisan
Nasional di bawah pimpinan Y.A.B. Perdana Menteri.
Pada kesempatan ini juga,
saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
Kerajaan Persekutuan Y.A.B. Perdana Menteri yang telah memberikan sumbangan
berbentuk dana melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri
(JPM). Ia untuk membantu para pelajar Kolej Yayasan Sabah yang merupakan sebuah
Institusi Pengajian Tinggi Swasta milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah, khususnya
dari kawasan luar bandar bagi mengikuti kursus-kursus kemahiran di Kolej
Yayasan
Pastinya sumbangan dana ini
akan mencetus semangat dan iltizam pihak pengurusan, pelajar dan warga Kolej
Yayasan Sabah untuk mencapai kecemerlangan apatah lagi dalam usaha bagi
mencapai status universiti menjelang tahun 2013.
Tuan-tuan dan puan-puan yang
dihormati sekalian,
Sesungguhnya, Negeri Sabah
telah mencapai pelbagai kejayaan bukan sahaja dari segi kestabilan politik dan
pentadbiran, kemajuan ekonomi, kemakmuran sosial, kemajuan infrastruktur dan pelbagai sektor lagi. Suka saya tekankan
di sini, kejayaan ini tidak dicapai dengan mudah dan selesa tetapi sebaliknya
kejayaan itu adalah hasil perjuangan pemimpin dan rakyat secara keseluruhannya.
Akhir kata saya merakamkan
sekalung budi seikhlas hati atas kehadiran Y.A.B. Datuk Seri Panglima Mohd
Najib Tun Abdul Razak ke Majlis yang sungguh bermakna ini. Semoga kewujudan
Kolej KDM akan memacu kemajuan bidang pendidikan ke tahap lebih tinggi bagi
melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan menjelang tahun 2020 seterusnya
menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara khususnya Negeri Sabah.