TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH MERANGKAP PENGERUSI SEDIA, SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PELANCARAN PROJEK SDC: PUSAT TERNAKAN BERSEPADU KENINGAU (KENINGAU INTEGRATED LIVESTOCK CENTRE) DAN UPACARA MEM ETERAI HEADS OF AGREEMENT ANTARA PIHAK BERKUASA PEMBANGUNAN EKONOMI DAN PELABURAN SABAH DENGAN ANNAM CORPORATION, PADA 16 JUN 2012, , DI SOOK, KENINGAU.

 

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Majlis Pecah Tanah Pelancaran Projek Koridor Pembangunan Sabah (SDC): Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) dan Upacara Memeterai Heads of Agreement antara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dengan Annam Corporation, sebuah anak syarikat Brunei Investment Agency (BIA).

 

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Y.A.B. Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi, atas kesudian beliau untuk bersama-sama dengan rakyat dan seterusnya melancarkan program pembangunan ini. Sesungguhnya kehadiran pemimpin nombor satu negara ini jelas membuktikan bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri komited dalam memastikan pelaksanaan pembangunan yang seimbang untuk rakyat di seluruh negara.    

 

Pada kesempatan ini, saya juga mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran Y.B. Pehin Orang Kaya Seri Kerma Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar Bin Haji Apong, Menteri Pelajaran Merangkap Pengerusi Brunei Investment Agency, berserta rombongan dari Negara Brunei Darussalam.

 

Dalam usaha kita membangunkan dan memajukan lagi Negeri Sabah, kita telah melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif pembangunan. Antaranya Agenda Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah yang menjadi teras pelaksanaan  Koridor Pembangunan Sabah yang meliputi projek-projek infrastruktur, pelancongan, pembuatan dan pertanian.

 

Dalam konteks ini, pelancaran Pusat Ternakan Bersepadu Keningau ini yang dianggarkan mampu menjana kira-kira RM763 juta jumlah pelaburan di kawasan pedalaman, tentunya berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan pertanian dan industri asas tani di negara ini khususnya di negeri Sabah.

 

Suka saya tekankan bahawa projek ini bukan sahaja berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi apa yang lebih penting ialah menyediakan banyak peluang pekerjaan yang mampu meningkatkan lagi pendapatan dan taraf hidup rakyat di kawasan Pedalaman ini.

 

Usaha dan inisiatif seumpama ini jelas membuktikan iltizam, kegigihan, dan kesungguhan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menjadi pemangkin kemajuan ekonomi negara. Melalui penyertaan daripada Brunei Investment Agency, saya yakin ia akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

 

Sehubungan itu, perjanjian yang akan ditandatangani pada hari ini menunjukkan kepercayaan pelabur asing terhadap potensi pelaburan di Negeri Sabah, khususnya melalui program Koridor Pembangunan Sabah. Saya percaya, perjanjian ini akan membuka ruang bagi kedua-dua pihak untuk meneroka pelbagai bidang yang berpotensi tinggi untuk dimajukan bagi manfaat bersama. 

 

Seperti yang kita maklum, pemeteraian ini adalah susulan daripada Memorandum of Understanding (MoU) di antara SEDIA dan Bandtree Sdn Bhd, anak syarikat Brunei Investment Agency pada 12 September 2011, di Bandar Seri Begawan yang disaksikan sendiri oleh  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia sempena Rundingan Tahunan Ke-15 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

 

Sesungguhnya, Negeri Sabah telah menikmati banyak pembangunan menerusi peruntukan besar yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Y.A.B. Perdana Menteri. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa wujudnya kepimpinan negara yang berwibawa, prihatin dan berjiwa rakyat serta hubungan kerjasama yang mantap dan kukuh antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

 

Dalam konteks ini, saya yakin dan percaya, SDC mampu memacu peningkatan ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memacu  pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar serta memastikan pembangunan yang mampan dan menyeluruh di negeri ini. Oleh itu, marilah kita terus memperkukuhkan kerjasama dan sokongan padu kepada usaha-usaha ini bagi memastikan dasar dan agenda pembangunan kerajaan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri yang kita kasihi atas kesudian beliau untuk menyempurnakan Majlis Pecah Tanah sempena pelancaran Projek SDC: Pusat Ternakan Bersepadu Keningau ini.  Saya juga merakamkan penghargaan kepada Y.B. Pehin Orang Kaya Seri Kerma Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar Bin Haji Apong, Menteri Pelajaran Merangkap Pengerusi Brunei Investment Agency, berserta rombongan dari Negara Brunei Darussalam atas komitmen untuk menjayakan usaha pembangunan ini.

 

Sekian.