TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PERASMIAN DAN MAKAN MALAM KONVENSYEN PERKAMA INTERNATIONAL KALI KE- 18, PADA 19 JUN 2012, PUKUL 7.50 PETANG, DI AUDITORIUM TUN MUSTAPHA, INSTITUT TADBIRAN NEGARA (INTAN) CAWANGAN SABAH, KOTA KINABALU.

 

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International) di atas kesudian mengundang saya untuk merasmikan “Konvensyen PERKAMA International Kali Ke 18”.  Pada kesempatan ini juga, saya  mengucapkan selamat datang ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu kepada para kaunselor dan pengamal kaunseling dari seluruh negara. Saya berasa gembira dapat bertemu dengan  tuan-tuan dan puan-puan sekalian.       

 

Dalam usaha kita untuk menjadi sebuah negara maju, profesion kaunseling mempunyai peranan yang amat signifikan kepada masyarakat dalam menghadapi pelbagai cabaran. Ini kerana kaunseling merupakan profesion yang menyediakan perkhidmatan membantu bagi tujuan perkembangan diri secara profesional.

 

Oleh itu, perkhidmatan ini sudah tentunya perlu disediakan secara berkualiti sesuai dengan tema konvensyen iaitu ‘Kaunselor Berkualiti Untuk Kehidupan Berkualiti’. Dalam konteks ini, saya berasa gembira dengan usaha dan penyertaan daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menjayakan konvensyen dan meningkatkan kualiti profesion ini.

 

Sesuai dengan pelbagai program transformasi kerajaan yang berteraskan 1Malaysia, perkhidmatan kaunselor di lihat selaras dengan keperluan cabaran meningkatkan kesihatan mental rakyat bagi menyediakan masyarakat moden dalam merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Tentunya usaha-usaha ini akan menambahkan pemahaman masyarakat terhadap dasar-dasar kerajaan, di samping menjadi serampang dua mata untuk meningkatkan jati diri masyarakat dan meninggikan lagi tahap kesihatan mental masyarakat.

 

Dalam konteks ini, profesion kaunseling adalah antara profesion barisan hadapan dalam menjana potensi modal insan secara holistik melalui perkhidmatan kaunseling dan bimbingan, baik di institusi pendidikan, ditempat kerja mahu pun dalam komuniti. Melalui perkhidmatan kaunseling yang cekap dan berkesan, kita bukan sahaja dapat menangani permasalahan yang berlaku dalam organisasi, komuniti dan juga keluarga, malah boleh mencungkil dan menggarap kecerdasan emosi yang merupakan antara elemen penting dalam menentukan kualiti hidup seseorang.

 

Disamping itu, dalam meniti arus pembangunan dan realiti masyarakat yang berubah, sudah tentulah kita berhadapan dengan pelbagai cabaran baru. Dengan perkembangan dunia maklumat yang semakin pantas dan gaya hidup masyarakat yang semakin berubah, gejala negatif mudah menular dalam masyarakat disebabkan oleh kelemahan menyesuaikan diri dengan persekitaran dan menguasai keadaan. Mereka yang mengalami masalah kurang daya tahan diri perlu dibantu dan dibimbing agar mereka dapat bertindak secara waras dan bijak dalam menangani situasi yang mencabar.

 

Untuk itu, kaunselor merupakan antara ahli profesional yang boleh memainkan peranan secara efektif dalam membantu mereka yang mengalami pelbagai cabaran hidup dan daya tindak. Seorang kaunselor yang cekap dan berkesan sudah tentu dapat membimbing individu untuk menguasai keadaan hidup mereka dan seterusnya mengambil tindakan yang rasional demi kebaikan diri, keluarga dan masyarakat. Sumbangan seorang kaunselor amat penting dalam membina individu yang berjaya, keluarga yang bahagia dan masyarakat yang sejahtera.

 

Menyedari kepentingan peranan dan sumbangan kaunselor, kerajaan telah mengambil langkah untuk memperkasa profesion kaunseling di negara kita. Untuk tujuan ini, perkhidmatan kaunseling telah diiktiraf sebagai satu bidang profesional dengan penguatkuasaan Akta Kaunselor 1998. Dalam perkhidmatan awam, Skim Perkhidmatan Pegawai Psikologi telah diwujudkan untuk membolehkan kaunselor yang terlatih ditempatkan di perlbagai kementerian dan jabatan kerajaan.

 

Saya difahamkan PERKAMA International kini dalam rangkanya untuk menjadikan PERKAMA International sebagai Badan Akreditasi bagi perkhidmatan kaunseling di rantau ini, setanding dengan Council for Accreditational of Counseling and Related Educational Programmes (CACREP) di Amerika Syarikat. Saya percaya, kewujudan Badan Akreditasi ini kelak mampu memperbaiki mutu perkhidmatan yang memenuhi piawai perkhidmatan profesional. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas usaha tersebut kerana langkah ia secara tidak langsung akan melonjakkan status perkhidmatan kaunseling yang berkualiti di negara ini.

 

Saya juga menyambut baik inisiatif PERKAMA International pada tahun ini yang memberikan tumpuan khas kepada usaha melahirkan seramai mungkin kaunselor yang mampu mengendalikan sesi kaunseling bersama golongan OKU. Ini penting untuk membantu mereka menjalani kehidupan seharian dengan sempurna dalam persekitaran yang serba mencabar.

 

Akhir kata, sekali lagi sekalung tahniah dan terima kasih saya rakamkan kepada PERKAMA International kerana sudi memilih Negeri Sabah Di Bawah Bayu sebagai lokasi Konvensyen kali ke-18. Semoga para pengamal kaunseling akan mendapat pendedahan yang bermanfaat dalam konvensyen ini bagi meningkatkan lagi kualiti dan memartabatkan profesion ini dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

 

Sekian.