TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PELANCARAN JEJAK 2012 KORIDOR SEDIA, PADA 5 JUN 2012, DI SUTERA HARBOUR RESORT

KOTA KINABALU.

 

 

Alhamdulilah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat bersama-sama pada Majlis Pelancaran Jejak 2012 Koridor SEDIA.  Pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pihak penganjur khususnya Y.B. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sesungguhnya kehadiran Y.B. Tan Sri bersama rombongan melambangkan kukuhnya kerjasama yang terjalin di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengalu-alukan kedatangan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Sabah, khususnya ke Koridor Pembangunan Sabah (SDC), dalam rangka inisiatif TERAJU@KORIDOR yang telah dilancarkan pada bulan Mac lalu di Pulau Pinang. Sesungguhnya saya menghargai segala usaha untuk mempertingkatkan kedudukan ekonomi khususnya masyarakat Bumiputera di Sabah.

 

Usaha-usaha dan inisiatif seumpama ini tentunya akan membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan Bumiputera untuk diterokai seterusnya memacu peningkatan sosio ekonomi di Negeri Sabah. Inilah bukti jelas keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat termasuk golongan Bumiputera secara bersepadu dan menyeluruh seterusnya mencerminkan hasrat dan polisi Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berusaha mengambil kira kepentingan semua pihak melalui gagasan 1Malaysia.

 

Justeru saya berharap agar TERAJU dapat membantu meningkatkan lagi ekonomi golongan Bumiputera Sabah melalui inisiatif-inisiatif yang akan dibawanya melalui program TERAJU@Koridor. Tentunya peranan yang dimainkan oleh TERAJU berupaya memacu pembangunan industri-industri seperti pelancongan, pembuatan, pertanian dan pemprosesan makanan agar boleh dimanfaatkan oleh usahawan-usahawan Bumiputera tempatan. Saya percaya bahawa industri-industri ini mampu menarik lebih banyak penyertaan dari usahawan-usahawan Bumiputera tempatan.

 

Sehubungan itu, untuk merealisasikan matlamat ini, ia sudah tentu memerlukan koordinasi functional yang bersepadu dan mantap di antara agensi-agensi Pusat dan agensi-agensi di peringkat negeri. Saya amat gembira kerana TERAJU dan Kerajaan Negeri melalui SEDIA telah bekerjasama dalam penganjuran Jejak 2012 ini. Kita sedar bahawa hanya melalui kerjasama yang erat dan padu, segala objektif akan dapat dicapai dengan lebih berkesan.

 

Sesungguhnya Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam melaksanakan pembangunan menyeluruh bagi mempertingkatkan lagi ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi. Justeru, saya menghargai kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui agensinya TERAJU yang turut menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi di negeri ini.

 

Akhir kata, saya berharap agar para usahawan Bumiputera dapat memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya bagi memacu peningkatan sosio ekonomi ke tahap maksima. Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan terima kasih kepada TERAJU atas pemilihan Sabah sebagai lokasi ketiga penganjuran Program Jejak 2012 selepas Pulau Pinang dan Sarawak. Semoga program ini akan mencapai matlamatnya dalam memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan rakyat khususnya golongan Bumiputera dalam memacu pembangunan ekonomi negara untuk kesejahteraan dan kemakmuran kita bersama.

 

Sekian.