TEKS UCAPAN Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

KETUA MENTERI SABAH, SEMPENA MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN HARI BELIA PERINGKAT NEGERI SABAH 2011, PADA 15 MEI 2011

DI DEWAN SERBAGUNA, KOMPLEKS SUKAN, KOTA KINABALU.

 

 

Terlebih dahulu marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, maka dapatlah kita sama-sama meraikan Perhimpunan Belia sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2011. Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah kerana telah memberi penghormatan kepada saya untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah pada hari ini.

 

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelaksana serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini. Saya berasa seronok dan gembira dapat bersama-sama para belia dan menyambut baik pengisian program ini dikenali sebagai Program Sentuhan Mesra Belia atau Youth Touch Points yang merangkumi pelbagai karnival yang cukup menarik untuk para belia kita.

 

Begitu juga dengan kutipan amal Tabung Mangsa Gempa Bumi dan Tsunami Jepun, yang saya percaya dapat memupuk budaya penyayang dan keprihatinan serta semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam kalangan generasi belia negeri Sabah.

 

Sambutan Hari Belia yang diadakan pada setiap tahun merupakan wadah penting kerajaan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar para belia dalam pelbagai bidang. Dengan berkonsepkan karnival, rangkaian dan interaksi, sambutan Hari Belia Peringkat Negeri pada tahun ini dilihat amat signifikan serta berupaya memberi impak positif memandangkan para belia mempunyai  pandangan dan pemikiran yang jauh lebih kritis dan terbuka.

 

Tema Hari Belia pada tahun ini iaitu, “Pemangkin Transformasi” sangat relevan dengan peranan belia masa kini yang menjadi antara penggerak dan pemangkin beberapa agenda transformasi negara yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Pembangunan Belia.

 

Justeru,  saya menyeru kepada para belia di negeri ini agar menghayati nilai-nilai teras Gagasan 1Malaysia seperti, Budaya Ilmu, Budaya Inovasi dan Budaya Prestasi Tinggi serta mempertingkatkan penglibatan, pengetahuan baru dan inovasi teknologi bagi merealisasikan matlamat program transformasi.

 

Hakikatnya golongan belia merupakan pemimpin masa hadapan dan tonggak penting yang akan menggerakkan pembangunan negara khususnya negeri Sabah. Sehubungan dengan itu, saya menaruh harapan yang tinggi agar kepemimpinan belia di semua peringkat khususnya belia akar umbi bersama-sama untuk menjadi ‘Pemangkin Transformasi’.

 

Kerajaan akan terus berusaha mewujudkan persekitaran kondusif supaya potensi kepimpinan belia di pelbagai peringkat akan terus menyerlah. Saya percaya, Majlis Belia Sabah (MBS), Rangkaian Ahli Gabungan MBS dan Gabungan Persatuan Belia Bahagian serta Jaringan Persatuan Belia Akar Umbi seluruh Sabah telah siap sedia mendukung Hala Tuju Pembangunan Belia yang meliputi beberapa agenda penting. Antaranya, Pembangunan Pengetahuan dan Sikap; Pembangunan Potensi Kepimpinan, Kemahiran dan Keusahawanan; dan Pembangunan Hubungan Peringkat Negeri dan Kebangsaan.

 

Menyedari akan keutamaan sokongan belia akar umbi dan kepentingan rangkaian berpersatuan pula, saya menyeru kepada semua pihak agar kerap ‘turun padang’ untuk mendekati dan mendengar suara para belia supaya kita dapat mengenal pasti kehendak dan keperluan kelompok terbesar dan terpenting ini. Oleh itu, kerjasama dan koordinasi antara Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan dan Majlis Belia Sabah perlu diperkemas dan dimantapkan supaya lebih ramai belia akar umbi mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan belia.

 

Pada masa yang sama, saya menyeru agar berita-berita tentang kejayaan para belia dalam pelbagai bidang seperti sukan, kepimpinan, keusahawanan dan sebagainya diperbanyakkan lagi dalam media massa supaya ia dapat dikongsi bersama dengan seluruh lapisan rakyat.  Saya yakin, dengan pendekatan ini masyarakat akan melihat lebih banyak perkara positif berkaitan belia seterusnya akan membuka minda, melahirkan kesedaran dan membakar semangat para belia yang lain untuk mencontohi potensi kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan rakan belia yang telah berjaya.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan terima kash kepada jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, NGOs serta semua pihak yang menjayakan Hari Belia Peringkat Negeri pada tahun ini.  Saya menaruh harapan yang tinggi agar Perhimpunan Belia dan Sambutan Hari Belia akan mencetus semangat dan iltizam para belia sebagai pemangkin program transformasi negara seterusnya menjamin masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat dan negeri yang tercinta ini.

 

Dengan harapan tersebut, saya dengan sukacitanya melancarkan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah 2011, dengan rasminya.

 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.